Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 mengumumkan hanya dua lagi gelanggang pertandingan masih belum mendapat kelulusan teknikal untuk digunakan dalam temasya yang akan berlangsung pada pertengahan September nanti.

Dua gelanggang berkenaan adalah padang bola sepak di Kerian serta Velodrom Rakyat di Ipoh yang sedang menjalani proses naik taraf.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Perak 2018, Musa Dun, pegawai teknikal daripada persatuan sukan yang terlibat akan membuat kunjungan ke gelanggang berkenaan untuk tujuan penilaian.

Difahamkan, wakil daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga telah melawat Velodrom Rakyat dan berpuas hati dengan gelanggang berkenaan.

"Setakat ini, syukur kami masih ada satu ada dua venue sahaja lagi untuk diberikan keputusan muktamad berhubung SUKMA kali ini tetapi kami rasa tidak banyak masalah untuk wakil daripada persatuan sukan kebangsaan untuk mengadakan lawatan.

"Kami juga rasa setakat ini, kesemua 12 daerah dan 39 venue akan berjalan lancar," kata Musa yang ditemui selepas majlis pengundian sukan berpasukan SUKMA 2018 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Proses undian itu membabitkan 10 jenis sukan, antaranya bola sepak, badminton, ragbi dan sepak takraw.

Dalam masa sama, Musa turut menjelaskan pihaknya akan memastikan penganjuran SUKMA kali ini bebas daripada gejala doping yang sering menjejaskan edisi terdahulu.

"Apa yang telah dipohon oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum ini telah kami usahakan untuk SUKMA edisi ke-19 ini, memastikannya buat semua 39 venue, iaitu menempatkan pusat pemeriksaan sampel untuk semua atlet yang terlibat," ujarnya.