Gandingan Gabriel Gilbert Daim dan Jellson Jabilin memastikan pingat emas buat Sabah selepas mempamerkan terjunan konsisten dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak, hari ini.

Hari ketiga saingan terjun di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, menyaksikan dua pingat emas menjadi rebutan.

Gabriel yang cemerlang dengan emas saingan individu sebelum ini tampil konsisten bersama Jellson yang mewakili negara dalam Sukan Asia di Indonesia bulan lalu.

Di sebalik tempoh persiapan yang singkat, mereka dapat menguasai acara ini dengan mengumpul 377.10 mata bagi meraih emas.

Tempat kedua milik gandingan Selangor, Ikhlas Ahmad Sharol dan Muhd Syahmi Mohd Reza, dengan catatan 307.62 mata.

Gangsa dipungut Bertrand Rhodict Anak Lises dan Enrique Anak Harold dari Sarawak.

"Saya berasa bersyukur kerana dapat emas untuk penyertaan kedua saya dalam Sukma.

"Dua tahun lalu kami telah memenanginya, jadi kami berjaya membuktikan kemampuan," kata Gabriel.

Menurut Jellson pula: "Saya gembira dengan terjunan hari ini di sebalik kesuntukan masa untuk mengadakan persiapan.

"Saya terpaksa belajar membuat terjunan seperti Gabriel kerana sebelum ini, saya lebih banyak beraksi dalam acara platform.

"Justeru, saya gembira dapat menyumbang emas untuk Sabah."

Dalam pada itu, penerjun Sarawak, Kimberly Bong, meraih emas peribadi keduanya selepas mengungguli acara platform individu wanita.

Kimberly sebelum ini cemerlang dengan memperoleh emas saingan platform seirama bersama Ellisha Rania pada Isnin lepas.

Rentak itu diteruskan dalam saingan individu meskipun dihantui kecederaan pinggang.

Dia mengumpul 263.35 mata keseluruhan untuk memenangi emas, disusuli Koh Hui Yan dari Selangor di kedudukan kedua.

Gangsa milik Ellisha dengan jumlah keseluruhan 227.70 mata.

"Saya berasa sakit di bahagian pinggang.

"Pencapaian ini boleh dikatakan baik tetapi terjunan agak mengecewakan," kata Kimberly.