Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon, memuji komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan seluruh kontinjen negeri itu sehingga berjaya mencatat keputusan di luar jangkaan dalam Sukma Ke-19 di Perak yang bakal melabuhkan tirainya hari ini.

Beliau berkata walaupun beberapa acara sukan tidak memihak kepada mereka, namun secara keseluruhan beliau tetap puas hati dengan pencapaian kontinjen itu, terutama bagi acara sukan yang tidak dijangka akan menghasilkan pingat emas.

"Kita dapat melihat pencapaian di luar jangkaan dalam Sukma kali ini, termasuk pasukan hoki lelaki yang memenangi pingat emas manakala pasukan wanita menenangi pingat perak, pasukan (hoki) kita tidak pernah melangkah ke final sebelum ini.

"Selain itu, kita juga melihat aksi luar biasa pasukan ragbi wanita kita kerana mereka bukan saja memenangi pingat emas buat pertama kali, malah tanpa dibolosi dalam setiap perlawanan, termasuk final," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Frankie berkata persiapan rapi yang dilakukan mereka sepanjang dua tahun lalu ternyata membuahkan hasil sehingga berjaya mencatat keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan Sabah dalam Sukma.

"Kita bukan saja melihat atlet kita mencipta beberapa kejutan dengan memenangi emas, malah kita melihat beberapa rekod telah dipecahkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata semua atlet yang berjaya memenangi pingat dalam Sukma kali ini akan diberi insentif, termasuk RM5,000 bagi setiap pemenang pingat emas.

"Kita tidak menjanjikan apa-apa kepada mereka sebelum ini tetapi mereka telah buktikan dan kita perlu menghargainya dengan memberi insentif.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang bersetuju untuk memberi ganjaran kepada atlet.

"Selain itu, saya juga mengucapkan syabas kepada semua pegawai terlibat, khususnya kepada Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri yang juga chef-de-mission kontinjen ini, Arunarsin Taib, serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Terrance (Edward Pudin)," katanya.

Dalam Sukma kali ini, Sabah mengumpul sebanyak 32 pingat emas, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka sebelum ini dalam Sukma 2002 ketika mereka menjadi tuan rumah.