Atlet memanah negeri Sabah, Eugenius Lo Foh Soon, dan ratu pecut, Azreen Nabila Alias dari Terengganu, masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 Perak, malam ini.

Kedua-duanya menerima trofi masing-masing daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, daam majlis penutup temasya sukan itu di Stadium Perak.

Eugenius, 17, dari Kota Kinabalu berjaya meraih tiga pingat emas, satu pingat perak dan mencipta rekod kebangsaan acara memanah 30 meter compound lelaki dengan 360 mata, menyamai rekod milik M. Khambeswaran dari Pulau Pinang dalam Sukma Ke-18 di Sarawak pada 2016.

Punggutan 360 mata adalah jumlah maksimum acara compound.

Eugenius meraih dua pingat emas lain menerusi acara 70m compound lelaki dan 50m compound lelaki dan turut memecahkan rekod Sukma bagi kedua-dua acara berkenaan.

Pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu itu berkata dia tidak pernah terfikir untuk menjadi olahragawan kerana faktor usia yang masih muda dan beranggapan lebih ramai atlet kebangsaan yang turut cemerlang di dalam sukan masing-masing dalam Sukma kali ini.

“Saya masih terkejut dengan kejayaan ini. Tidak pernah sangka akan terpilih menjadi olahragawan. Saya tujukan kejayaan ini kepada negeri Sabah, jurulatih dan pasukan memanah Sabah serta keluarga yang menyokong saya selama ini.

“Saya mula berkecimpung dalam memanah pada usia 12 tahun. Jurulatih adalah pakcik saya (Gabriel Liew) yang memperkenalkan sukan ini.

"Edisi dua tahun lalu di Sarawak adalah penampilan pertama dalam Sukma dan saya hanya menyumbangkan pingat perak dalam acara compound berpasukan lelaki,” katanya.

Eugenius turut bercita-cita menyertai skuad memanah kebangsaan serta melakar kejayaan yang lebih tinggi untuk negeri Sabah dan negara.

Sementara itu, Azreen Nabila yang merupakan atlet pelapis kebangsaan, cemerlang dengan kutipan tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

Lebih membanggakan, dia memperbaharui rekod Sukma dalam acara 100m selepas 10 tahun yang dipegang atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad, yang melakukan 11.82s dalam Sukma Terengganu 2008 dengan catatan masa terbaru 11.81s.

“Alhamdullilah, syukur dengan kejayaan di sini. Memang saya tidak jangkakan kemenangan ini. Kejayaan ini adalah untuk arwah bapa saya (Alias Che Ngah). Arwah hanya sempat mengikuti perkembangan saya dalam olahraga di Sukma Perlis sahaja.

“Ketika itu, saya tidak ada apa yang dapat saya banggakan kepadanya. Kalau ayah masih ada, mesti dia gembira. Kemenangan ini juga untuk ibu saya, Khadijah Ali,” katanya.

Azreen Nabila berkata kejayaan ini menyuntik semangatnya untuk lebih cemerlang, terutama dalam persediaan menghadapi Sukan SEA di Filipina tahun depan.

-- BERNAMA