Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon, hadir ke Sukan Malaysia (Sukma) Perak tanpa sebarang sasaran, namun kini dia mampu tersenyum kerana bukan sahaja meraih dua emas, malah turut memecahkan dua rekod kejohanan acara compound lelaki dalam tempoh 48 jam.

Saingan memanah diteruskan di Lapang Memanah Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan tumpuan diberikan terhadap Eugenius berikutan sehari sebelum itu dia sudah pun meraih emas acara 70m yang turut menyaksikan dia memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 349 mata.

Bagaimanapun, saingan hari ini tetap sengit antara setiap kontinjen yang mempertaruhkan pemanah terbaik mereka dengan kedudukan pendahulu sering bertukar ganti.

Namun, Eugenius sekali lagi tidak menghampakan skuad Sabah, dengan dia secara peribadi tidak menyangka mampu melakar 351 mata bagi meraih emas, mengatasi rekod lama milik M. Khambeswaran (349 mata) yang dilakar dalam edisi 2016 di Sarawak.

"Saya tidak jangka untuk mendapat medal dan bersyukur (atas kejayaan ini) sebab rata-rata pencabar di sini hebat-hebat belaka," katanya.

Sementara itu, dalam acara recurve wanita, kontinjen tuan rumah, Perak, turut ceria untuk memungut pingat dalam saingan 50m setelah meraih kedudukan satu-dua menerusi Nur Husna Nadhirah Khalid dan Nurul Basirah Mohammad Shah.

Husna, khususnya beraksi hambar dalam dua acara 70m dan 60m individu sebelum ini sekadar menduduki tangga ke-13 dan kelima.

"Saya cuma buat yang terbaik dalam 50m kerana ini bukan acara kegemaran," kata Husna.