Pemain skuasy Wilayah Persekutuan, Ng Eain Yow, menganggap reputasi sebagai pemain kebangsaan bukan jaminan untuk dia mendapat laluan mudah selepas menjuarai acara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Selepas membantu skuad berpasukan lelaki negara meraih pingat emas dalam Sukan Asia Indonesia baru-baru ini, tumpuan Eain Yow terarah kepada saingan Sukma.

Ternyata dia mempunyai misi tersendiri, iaitu mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Sarawak.

Berdepan pemain Pulau Pinang, Ryan Neville Pasqual, dalam final, Eain Yow menampilkan aksi penuh bertenaga apabila melakar kemenangan straight set 11-5, 11-1, 11-6 untuk mengesahkan emas dalam penampilan terakhirnya di pentas Sukma.

Di sebalik kemenangan itu, Eain Yow mengakui mempunyai tempoh persiapan yang cukup singkat di samping kualiti yang dipamerkan lawan dalam saingan kali ini juga telah meningkat.

"Neville beraksi dengan baik hari ini. Walaupun dia melalui aksi yang begitu memenatkan tengah hari tadi, dia telah beraksi dengan cemerlang.

"Aksi hari ini menjadi bukti bahawa kualiti skuasy di pentas Sukma semakin bagus," katanya.

Selepas ini, Eain Yow akan membantu skuad Wilayah Persekutuan untuk cuba memburu pingat bagi saingan berpasukan lelaki yang bermula esok.

Sudah pasti sasaran utama adalah untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu apabila mereka meraih perak setelah tewas kepada Negeri Sembilan dalam final.

"Kebanyakan pemain di sini adalah atlet kebangsaan, jadi kami semua adalah rakan.

"Kami tidak melihat untuk meraih kejuaraan tetapi melalui kejohanan dengan baik."