Perenang Melaka, Foong Wei Tze, dan Tia'a Faang Der dari Johor mempamerkan aksi bertenaga untuk meleburkan dua rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini, malam ini.

Wei Tze memecahkan rekod acara 50m kuak dada lelaki dalam Sukma Ke-19 dengan catatan masa 28.86s untuk mengatasi catatan 29.31s milik perenang Selangor, Shaun Yap Kah Choon, pada edisi lepas di Sarawak.

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Ng Jing Fu dari Selangor (29.64s) dan Adam Afif Faizal dari Wilayah Persekutuan (30.17s).

"Ketika sesi memanaskan badan, saya agak yakin dapat memecahkan rekod hari ini kerana ia jarak 50m.

"Ini merupakan acara dan Sukma terakhir saya, jadi ia sesuatu yang sangat baik," kata atlet yang berasal dari Ayer Keroh itu.

Dalam penampilan terakhirnya bagi temasya itu, Wei Tze turut meraih satu pingat emas dan satu pingat perak dalam acara 200m gaya bebas lelaki.

Sementara itu, Faang Der pula memperbaharui rekod Sukma miliknya dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki dengan masa 2:02.30s untuk mengatasi catatan terdahulu, 2:02.93s, di Sarawak.

Pingat perak acara itu dimenangi Zheng Yong dari Melaka dengan masa 2:05.63s manakala pingat gangsa menjadi milik Koh Teck Chen dari Wilayah Persekutuan dengan masa 2:06.06s.

Pada Isnin lepas, perenang berusia 20 tahun itu melakar kejayaan dengan mencipta rekod baru kebangsaan dalam acara 400m rampaian individu lelaki dengan catatan 4:30:48s untuk mengatasi catatan 4:30.85s milik Sebastian Soon dari Kuala Lumpur dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Julai lalu.

Kejayaan itu turut memadam rekod Sukma 4:34.14s berusia 16 tahun milik perenang dari Sarawak, Die Ung Manggan pada 2002 di Sabah.

-- BERNAMA