Tiada siapa menyangka pada usia 14 tahun, atlet renang, Goh Chia Tong, menamatkan kemarau 18 tahun emas untuk kontinjen Melaka dalam sukan itu di pentas Sukan Malaysia (Sukma) selepas mengungguli acara 200 meter kuak lentang wanita, hari ini.

Ia menjadi satu penantian yang cukup lama untuk kontinjen Melaka di Pusat Akuatik Tuanku Zara bagi acara renang.

Bagi Chia Tong, ini merupakan penyertaan ketiganya dalam Sukma sejak Perlis 2014 dan pencapaian terbaiknya hanya bersandarkan kepada pingat gangsa acara 200m kuak lentang yang dimenangi di Sarawak, dua tahun lalu.

Namun, ketika sesi perlumbaan petang tadi, Chia Tong mengetepikan pesaing lain untuk melakar masa 2 minit 25.53 saat, sekali gus meraih emas pertama buat Melaka sejak tahun 2000 di Pulau Pinang menerusi Abdul Hafiz Salleh bagi acara 200m kuak dada.

"Saya memang mahu menang emas dalam acara ini tapi tidak sangka menamatkan kemarau 18 tahun emas buat Melaka. Tahun 2000, saya belum lahir.

"Kejayaan ini pasti bermakna buat Melaka dan menambahkan semangat saya untuk meraih satu lagi emas selepas ini.

"Terima kasih kepada jurulatih, ibu-bapa serta rakan-rakan yang menyokong saya," katanya.

Dalam aksi 200m kuak lentang lelaki, peserta Wilayah Persekutuan, Khiew Hoe Yean, yang mengungguli acara tersebut mengalami perasaan bercampur-baur.

Dia gembira kerana memenangi emas dalam penampilan pertamanya dalam Sukma, namun agak terkilan setelah gagal memperbaharui rekod baru kejohanan, 2:07.02s, yang menjadi sasaran utamanya.

Aksi final hari ini menyaksikan Hoe Yan melakar masa 2:08.02s tatkala perak menjadi milik peserta Selangor, Terence Ng, sementara gangsa dibawa pulang oleh Hii Puong Wei dari Sarawak

"Saya agak yakin tetapi selepas 100m yang pertama, saya agak penat. Tidak mengapa, saya meraih pengalaman dan mungkin dalam Sukma seterusnya, saya dapat melakukan lebih baik."