Walaupun gagal mendapat gelaran 'ratu pecut', atlet Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, tetap puas hati dengan pencapaiannya dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak.

Atlet berusia 18 tahun yang berasal dari Penampang itu berkata dia memang menjangka akan menaiki podium, namun harapan dia sebenarnya ialah untuk memenangi pingat emas.

"Memang sedikit kecewa kerana kami memang menyasarkan emas untuk acara ini (100m wanita).

"Tapi tidak mengapa sebab ini penyertaan pertama saya dalam Sukma, selepas ini (Sukma akan datang), saya akan melakukan yang lebih baik lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam final acara 100m wanita di Stadium Perak, Ipoh, petang tadi, Chelsea sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa 12.17s.

Pingat emas bagi acara itu dimenangi atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias, dengan masa 11.81s, sekali gus mencipta rekod baru kejohanan.

Seorang lagi atlet dari Sabah, Ikma Syaffiera Duris, muncul pemenang pingat gangsa dengan catatan masa 12.28s.

"Saya memang telah jangka yang laluan saya untuk meraih pingat emas bukan mudah kerana saya belum pernah menewaskan dia (Azreen) sejak dari kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) lagi," katanya.

Selain acara 100m, Chelsea turut akan bersaing dalam tiga lagi acara, iaitu 200m, 4x100m dan 4x400m.

Sementara itu, pengurus skuad olahraga Sabah, Ali Aman, berkata, beliau tetap puas hati dengan pencapaian dua atlet pecut wanitanya dalam acara itu.

"Chelsea dan Ikma telah melakukan yang terbaik, malah kedua-dua mereka juga mengatasi catatan masa terbaik mereka sebelum ini," ujarnya.

Ali turut berharap dua atlet itu akan membantu Sabah untuk memburu emas bagi acara 4x100m esok.