Penembak kebangsaan Nur Izazi Rosli hampir memadam rekod kebangsaan acara 10 meter Air Rifle wanita selepas mengutip 623.3 mata untuk memperoleh pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, Chepor di sini hari ini.

Pengalaman ketika beraksi di Sukan Asia baru-baru ini membantu Nur Izazi dari Wilayah Persekutuan memadam rekod kejohanan milik penembak Perak, Nur Fatin Syairah Abdul Lathif dengan 414.5 mata, dua tahun lepas di Sukma Sarawak .

Rekod kebangsaan masih kekal milik penembak kebangsaan Nur Suryani Mohd Taibi dengan catatan 624.5 mata yang dilakukan atlet itu tahun ini.

Nur Izazi berkata penampilan kali ketiga di Sukma kali ini sangat istimewa kerana impiannya untuk meraih pingat emas dan membuat rekod kejohanan baharu tercapai.

“Alhamdulilah saya telah melakukan yang terbaik dan bersyukur, kejayaan memang saya idamkan selama ini. Pencapaian tertinggi di Sukma adalah di sini. Penampilan kali pertama di Sukan Asia membantu prestasi saya di sini.

“Latihan padat bersama jurulatih luar iaitu Park Sang Soong turut membantu prestasi saya di sini serta mempunyai kelengkapan yang cukup,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nur Izazi, 18, berkata walaupun berkelebihan sebagai atlet kebangsaan beliau tidak menafikan atlet negeri terutamanya penembak dari Perak memberikan tentangan sengit kepadanya.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi oleh Shalyn Najjihah Muhamad Sharif dengan 620.7 mata dari Pahang dan penembak tuan rumah Nur Fatin Syairah dengan 619.2 mata.

Sementara itu trio Perak yang dibarisi oleh Nur Fatin, Sharifah Noor Ellyana Syed Abdul Hamid, Nurul Athirah Huzaimi turut cemerlang merangkul pingat emas dan memperbaharui rekod temasya dengan 1,829.8 mata.

Sebelum ini rekod kejohanan dipegang oleh gandingan tuan rumah, Nur Fatin, Wan Khaleeda Firdhaus, Nur Fazira Adzha dengan 1,226.8 mata di Sukma Sarawak.

Pingat perak dimenangi trio Pahang (Shalyn Najjihah, Nur Aqilah Mohd Faizul, Nur Afiqah Mohamad Najib) dengan 1,824.6 mata manakala Selangor (Nurlissa Erinna Wan Yusoff, Nur Eliya Natasya Mohamad Zakaria, Nur Dayana Hijrah Danial Ng) membawa pulang gangsa dengan 1,806.4 mata.

Dalam pada itu penembak lelaki, Muhammad Qamarul Naim Abu Aziz turut memecah rekod Sukma dengan memperoleh 541 mata memadam rekod bersama Muhamad Muhaithir Johari (Pahang) pada 2012 dan Jasmi Mohamad Zin (Negeri Sembilan) pada 2014 dalam acara 50m pistol lelaki.

Muhammad Qamarul menyumbang pingat emas buat Terengganu menewaskan penembak tuan rumah, Siau Zianyi (530 mata) yang meraih perak dan pingat gangsa menjadi milik penembak Johor, Muhamad Syafiqrul Firdaus Mohd Husni dengan 517 mata.

Dalam acara 50m pistol berpasukan lelaki, Perak meraih pingat emas menerusi Siau, Muhd Amir Faris Basri, Ilmi Azri Abdul Razak dengan 1,534 mata manakala Terengganu (Muhammad Syafiqrul, Safirredzuan Salim, Muhammad Qamarul Naim) ditempat kedua dengan mata yang sama.

Perak memenangi emas dengan kelebihan ketepatan sasaran.

Pingat gangsa milik trio Johor, Sim Jia Hong, Muhamad Hudzriy Jaslan, Hazeq Haqeem R. Azmi dengan 1,532 mata.

-- BERNAMA