Selepas bertarung hampir 11 jam, kontinjen Perak akhirnya ceria apabila atlet petanque, Nurul Balqis Fuzian, menghadiahkan pingat emas buat tuan rumah dalam aksi sengit final acara shooting Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Kangsar.

Detik kemenangan Balqis muncul setelah lawan dari Selangor, Anis Amira Basri, gagal menyempurnakan balingannya untuk membuka laluannya meraih emas dengan keputusan 27-22.

Ia kejayaan yang cukup manis di hadapan penyokong sendiri memandangkan dalam dua edisi sebelum ini di Perlis 2014 dan Sarawak 2016, dia hanya berpuas hati dengan pungutan pingat gangsa dan perak.

"Ini kejayaan paling manis dan saya memenangi emas di tempat sendiri seperti yang diharapkan (kontinjen) negeri," kata Balqis.

Malang buat wakil Perak yang beraksi dalam kategori lelaki, Muhammad Danial Syazwan, setelah tumpas kepada peserta Perlis, Muhammad Afif Aiman Yusri.

Danial gugup dan hilang fokus sehingga menyaksikan Afif merebut kesempatan itu untuk melakar kemenangan 24-19.

"Pada awal saingan, saya bermula teruk dan berada di kedudukan tercorot.

"Saya kembali bersemangat menerusi rakan-rakan.

"Saya tidak mahu mensia-siakan sokongan mereka dan fokus kepada permainan saya," kata Afif.