Badang Selangor menggamatkan Dewan Merdeka hari ini selepas memecah rekod Sukan Malaysia (Sukma) dalam kategori snatch serta clean and jerk angkat berat lelaki 56 kilogram.

Mohd Yusoff Nandong, 20, anak kelahiran Tanjung Karang, melakukan angkatan yang memecahkan rekod Sukma 116kg pada percubaan kedua setelah berjaya mengangkat beban 112kg pada percubaan pertama dalam acara snatch.

Rekod kejohanan acara itu dipegang oleh atlet kebangsaan dari Kedah, Mohd Shafiq Ismail, dengan angkatan seberat 115kg dalam Sukma 2010 di Melaka.

Dalam acara clean and jerk, dia sekali lagi mengulangi kecemerlangan apabila memadamkan catatan 136kg, juga milik Mohd Shafiq, dengan mengangkat 137kg pada percubaan ketiga.

Kejayaan yang dianggap penuh istimewa di pentas terakhir Sukma itu juga boleh dianggap sebagai medan 'tebus kecewa' buat Mohd Yusoff yang sekadar meraih pingat perak dalam acara snatch dan gangsa dalam acara clean and jerk bagi kategori yang sama dalam Sukma 2016 di Sarawak.

“Ini merupakan penyertaan Sukma ketiga saya. Pingat emas yang saya saya menang ini sesuatu yang cukup istimewa kerana saya juga dapat memperbaharui rekod Sukma.

"Kemenangan ini saya tujukan kepada jurulatih saya, Naharuddin Mahayuddin, serta semua yang menyokong saya,” katanya.

Dalam pada itu, pingat perak acara snatch dimenangi atlet Terengganu, Umar Abdul Aziz Mohd Bustaman, yang melakukan angkatan 104kg manakala atlet Pahang, Mohamad Taufiq Idham Razali, meraih gangsa dengan catatan 103kg.

Pingat perak acara clean & jerk pula disambar atlet Johor, Mohamad Aniq Kasdan, dengan angkatan 130kg manakala gangsa dimenangi Umar Abdul Aziz Mohd Bustaman (129kg).

Secara keseluruhan dalam acara angkat berat yang membuka tirai hari ini sehingga 21 September, Selangor mendominasi dua pingat emas, diikuti Terengganu dan Pahang masing-masing satu emas.

Sukan angkat berat menawarkan 32 pingat emas yang menjadi rebutan 170 atlet yang bersaing dalam acara berkenaan.

-- BERNAMA