Ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias, rela mengorbankan dua acara utama olahraga dalam misi mengekalkan gelaran reben biru terus menjadi miliknya menjelang edisi di Johor, Julai depan.

Atlet kelahiran Kuala Terengganu itu menggegar acara balapan di Perak, tiga tahun lalu apabila menyambar tiga pingat emas termasuk memperbaharui satu rekod baru kejohanan dalam acara 100 meter untuk menggondol gelaran atlet wanita terbaik.

Namun, Azreen realistik ia pencapaian yang sukar diulangi dengan mengambil faktor keadaan dirinya yang baru pulih daripada kecederaan hamstring sejak penghujung November lalu.



Tidak rela berputih mata, fokus utama pemenang gangsa Sukan SEA Filipina, Disember lalu adalah untuk mempertahankan emas bagi acara kegemarannya itu dengan cuba menyamai catatan terbaik peribadi, 11.81 saat, berbanding acara 200m dan 4x100m.

"Saya hanya mampu berdoa dan usaha.

"Saya tidak boleh terlalu keyakinan, mungkin akan muncul pencabar yang baru," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri Karim di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Ketika ini, Azreen giat berlatih di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, M. Balamurugan, di samping ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.