Saingan hari kedua acara angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 menyaksikan badang wanita Sabah, Elly Cascandra Engelbert memperbaharui rekod kejohanan bagi kategori 53kg acara clean and jerk, sekali gus menyapu bersih dua emas, termasuk dalam acara snatch.

Biarpun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu dialami baru-baru ini, atlet pelapis kebangsaan kelahiran Papar itu nyata berada di kelasnya tersendiri dengan mempamerkan angkatan cemerlang pada aksi di Dewan Merdeka Majlis Daerah Tapah di sini hari ini.

Beliau melakukan angkatan bebanan 92kg pada percubaan ketiga, sekali gus memadamkan catatan 90kg yang dilakukan bekas atlet kebangsaan Raihan Yusoff dari Kelantan pada Sukma Terengganu 2008 bagi acara clean and Jerk.

Pingat perak dimenangi atlet Perlis, Nurul Ain Husna Che Mohd Nor (82kg) manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Terengganu, Nurul Syafiqah Azmi (81kg).

“Saya sebenarnya tidak menyangka boleh meneruskan cabaran sekali gus pecahkan rekod dan peroleh dua emas hari ini. Saya baru sahaja pulih daripada kecederaan di bahagian pinggang semasa menjalani latihan di Sabah, tahun lepas.

“Semangat dan motivasi diberikan rakan-rakan, jurulatih serta ahli keluarga mendorong saya melakukan yang terbaik membantu kem Sabah menambah koleksi emas,” katanya kepada pemberita selepas saingan itu.

Bagi kategori snatch, atlet Sabah berusia 18 tahun itu meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan 72kg, mengatasi pencabarnya Nurul Syafiqah Azmi dari Terengganu (64kg) untuk pingat perak manakala Nurul Ain Husna Che Mohd Nor dari Perlis (63kg) memenangi gangsa.

Elly, anak bongsu dari empat beradik, berkata pingat emas dimenanginya itu adalah yang pertama sepanjang menyertai tiga temasya Sukma.

Malah, beliau berkata pencapaian kali ini juga berjaya menebus kekecewaannya yang sekadar meraih dua pingat gangsa dalam acara snatch serta clean and jerk semasa Sukma 2016 di Sarawak.

Esok, empat pingat emas dipertandingkan bagi sukan angkat berat acara snatch kategori 58kg wanita dan 69kg lelaki, selain acara clean and jerk bagi kategori 58kg wanita dan 69kg lelaki di venue yang sama.

Sukan angkat berat menawarkan 32 pingat emas yang menjadi rebutan 170 atlet yang bersaing dalam acara berkenaan.

-- BERNAMA