Pesilat muda Terengganu berusia 17 tahun, Ahmad Atif Irsyad, menepati jangkaan untuk meraih pingat emas putra kelas E dengan menewaskan pesilat Johor, Zulfazly Zulfakar, 5-0, hari ini.

Biarpun terpaksa mengimbangi pelajaran dan latihan, ia tidak menghalang Atif untuk mencapai sasarannya dalam temasya kali ini untuk mengikut jejak idolanya, Al-Jufferi Jamari.

"Kemenangan ini sememangnya dalam perancangan, saya ingin menggantikan Al-Jufferi Jamari sebab kategori kami sama," kata Atif.

Seorang lagi pesilat yang mengotakan misinya untuk meraih emas adalah wakil Pahang, Mohamad Zarish Hakim Shukor, dalam saingan putra kelas D.

Zarish menewaskan Mohillman Mohd Zaini dari Selangor 5-0 dan baginya, pengalaman berlatih bersama skuad kebangsaan membantunya mencipta kemenangan

"Ini adalah kekuatan untuk saya bersaing di peringkat antarabangsa dan saya mahu membuktikan keupayaan di luar negara," kata Zarish.