Perenang kebangsaan, Asmalia Redzuan, menepati jangkaan apabila meraih emas acara 200 meter gaya bebas wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Ipoh, hari ini,

Tidak berpuas hati dengan catatannya, dia berazam untuk bangkit selepas mencatat 2 minit 09.590 saat yang menjulangnya sebagai juara, dengan berkata: "Saya tidak gembira, saya menghadapi masalah teknikal tadi.

"Saya berasakan saya boleh melakukan yang lebih baik.

"Apa yang berlaku biarkan berlalu.

"Saya akan cuba melupakan apa yang terjadi dan fokus kepada acara esok pula."

Perenang Sarawak, Angela Chieng Chui Fei, memenangi perak dengan catatan 2:11.820s manakala
Rosalind Pang Shean Hong dari Selangor membawa pulang gangsa (2:12.210s).

Sementara itu, Koay Wern Rui menghadiahkan emas buat Pulau Pinang dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki menerusi catatan 01:52.640s.

"Ia pencapaian yang mengagumkan memandangkan ini pingat dan pembabitan sulung saya dalam Sukma.

"Saya harap dapat memenangi lebih banyak emas lagi," kata Wern Rui.

Perak menjadi milik Foong Wei Tze dari Melaka (01:53.120s) sementara perenang Terengganu, Arvin Shaun Singh Chahal, meraih gangsa dengan catatan 01:53.120s.