Pelari pecut Selangor, Muhammad Aqil Yasmin, tampil cemerlang selepas mengatasi dua atlet yang mewakili skuad kebansgaan ke saingan Sukan Asia Indonesia untuk menjuarai acara 100 meter Sukan Malaysia (Sukma) Perak, hari ini.

Acara reben biru itu menjadi tumpuan pada hari kedua saingan olahraga di Stadium Perak, Ipoh.

Ketiadaan juara bertahan yang juga pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, yang tidak mengambil bahagian nyata tidak menjejaskan saingan akhir 100 meter.

Aqil turun berdepan dua pelari kebangsaan, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Haiqal Hanafi, yang masing-masing mewakili Terengganu dan Negeri Sembilan.

Rentak cemerlang yang dipamerkan Aqil dalam aksi separuh akhir semalam diteruskan apabila merekodkan catatan masa 10.39 saat untuk muncul juara.

Kejayaan itu memberikan kepuasan tersendiri buat Aqil selepas hanya meraih tempat keempat di Sarawak, dua tahun lalu, di samping memperbaiki catatan terbaik peribadinya sebelum ini, 10.45s.

Haiqal memperoleh perak dengan catatan 10.43s, diikuti Zulfiqar yang berpuas hati dengan gangsa.

"Saya memang meletakkan sasaran untuk meraih pingat dan memecahkan catatan peribadi terbaik. Syukur dapat melakukannya hari ini.

"Pencabar utama yang lain baru pulang daripada Sukan Asia dan jurulatih saya sering mengatakan bahawa semua pencabar adalah manusia biasa. Hanya perlu fokus sehingga garisan penamat," ujar Aqil.

Sementara itu, saingan 100 meter wanita dimenangi oleh Azreen Nabila Alias yang mencatat 11.81s.

Dia yang menduduki lorong keempat meraih permulaan baik, sekali gus dapat menjarakkan diri daripada pencabar yang lain.

Catatan Azreen itu memecahkan rekod kejohanan 11.82s yang dilakukan oleh Siti Fatima Mohamad dalam edisi 2008 di Johor.

Selain itu, ia turut memadam kekecewaan Azreen yang sekadar berpuas hati dengan perak ketika saingan di Sarawak, dua tahun lalu.

Perak serta gangsa masing-masing menjadi milik dua atlet Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas serta Ikma Syaffiera Duris.

"Pertama sekali, terima kasih kepada ibu-bapa yang datang dari jauh. Terima kasih juga buat barisan jurulatih dan persatuan.

"Saya tidak sangka dapat meraih emas, memecahkan rekod dan memperbaiki catatan masa peribadi terbaik, iaitu 12.01s. Saya amat bersyukur," kata Azreen.