Berita gembira buat peminat sukan angkat berat apabila acara itu akan kembali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas satu kata sepakat dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Johor 2020 di Menara KBS, hari ini.

"Kami telah mencapai kata sepakat untuk memasukkan sukan angkat berat dalam Sukma Johor sebagai salah satu sukan pilihan atas perkembangan positif sukan berkenaan yang berjaya membersihkan nama mereka dan tidak lagi dikaitkan dengan masalah doping. Sebelum ini, sukan tersebut tidak dimasukkan dalam Sukma Johor kerana doping.

"Bagaimanapun, ujian saringan sebelum beraksi dalam Sukma Johor bagi setiap sukan, termasuk angkat berat, akan diteruskan seperti tahun terdahulu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Untuk rekod, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) telah mengesahkan bahawa keputusan doping bagi lima atlet angkat berat kebangsaan adalah negatif 11 September lalu.

Keputusan lima atlet angkat berat podium kebangsaan itu melibatkan Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atika Mahamad Sobri yang telah menjalani ujian anti doping oleh ADAMAS secara mengejut.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut memuji inisiatif yang diambil oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam memperkukuhkan tindakan pencegahan ke arah sifar doping.

"PABM telah mengambil inisiatif dengan meminda beberapa perlembagaan mereka untuk memperkukuhkan lagi tindakan pencegahan terhadap doping dan mereka juga akan mewujudkan Jawatankuasa Disiplin khusus untuk mengendalikan doping.

"Mereka juga akan bekerjasama dengan MSN pusat dan negeri dalam pemilihan jurulatih angkat berat yang akan mengendalikan latihan kepada atlet Sukma negeri masing-masing. Itu adalah usaha berterusan yang telah dilakukan oleh persatuan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, dalam satu kenyataan media berkata segala usaha PABM, persatuan negeri, ADAMAS, atlet dan jurulatih yang bekerja keras mengadakan siri seminar, bengkel dan sesi penerangan secara berterusan menunjukkan kesan positif.

Beliau berkata PABM telah menghantar senarai persiapan dari segi tempat kejohanan, pegawai teknikal dan keperluan serta kelengkapan yang diperlukan kepada Sekretariat Sukma Johor 2020 untuk dipertimbangkan.

"Saya harap sesi penerangan dapat dilakukan secara berterusan agar pengamal bidang sukan angkat berat ini benar-benar faham serta tidak melibatkan diri dalam pengambilan barangan larangan ini. Semoga semua atlet dari negeri-negeri dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam Sukma nanti.

"Tonjolkan bakat dan usaha keras anda. Malaysia boleh. PABM mengucapkan terima kasih atas pengumuman ini. Terima kasih juga kepada Menteri KBS, Ketua Pengarah MSN dan Majlis Olimpik Malaysia atas sokongan berterusan kepada PABM dalam perkara ini," katanya.

Selain angkat berat dimasukkan semula untuk dipertandingkan di Sukma Johor, sukan silambam juga akan dimasukkan sebagai sukan demonstrasi.

-- BERNAMA