Atlet renang Johor, Tia’a Faang Der, mencetus sensasi apabila mencipta rekod baru kebangsaan
dalam acara 400 meter rampaian individu lelaki dengan catatan 4 minit 30.48 saat dalam
Sukan Malaysia (Sukma) Perak, semalam.


Kejayaan Faang Der turut membolehkan renang menjadi sukan pertama dalam Sukma kali ini yang
memecahkan rekod kebangsaan.

Catatan Faang Der itu membolehkannya memecahkan rekod kebangsaan milik Sebastien Soon dari
Wilayah Persekutuan, iaitu 4:30.85s, yang dicatat ketika Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean,
Julai lalu.

"Saya hanya memikirkan untuk mengatasi catatan peribadi terbaik. Saya tidak mahu meletakkan tekanan terlalu tinggi untuk memecah rekod kebangsaan," katanya.

Dalam saingan semalam, Faang Der menewaskan Sebastien yang meraih perak menerusi catatan
4:30.79s, manakala gangsa menjadi milik wakil Terengganu, Arvin Shaun Singh, dengan masa
4:33.010s.

Bagi Faang Der, dia tidak menjangka mampu memecah rekod kebangsaan dan hanya memikirkan
untuk cuba memastikan kilauan emas.

"Saya berlatih bersama Sebastien dan cuba untuk mengatasinya. Saya amat mengenalinya."