Pelumba Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir, muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal apabila meraih tujuh pingat emas dalam penampilannya dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Terbaru, dia meraih tiga lagi pingat emas dalam acara kejar-mengejar individu, keirin dan kejar-mengejar berpasukan 4 kilometer (km) pada hari terakhir Sukma Ke-19 yang berlangsung di Velodrom Rakyat, Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, atlet berusia 21 tahun itu telah membolot emas dalam acara kriterium 50km, jalan raya individu 80km, scratch 10km dan ujian masa berpasukan 30km.

“Saya berharap kejayaan meraih tujuh pingat emas ini dapat membuka mata pihak yang bertanggungjawab untuk kembali menyenaraikan saya ke dalam skuad pelapis atau skuad kebangsaan.

“Saya berasa amat bangga dengan pencapaian ini. Pengorbanan saya meninggalkan keluarga dalam masa yang panjang untuk menjalani latihan ternyata amat berbaloi,” kata atlet yang berasal dari Kemaman itu.

Untuk rekod, pencapaian Nur Aisyah meraih tujuh emas itu mengatasi pencapaian terbaik atlet Terengganu, iaitu Fatehah Mustapa, yang meraih enam emas dalam Sukma 2006 di Kedah.

Sementara itu, Nur Aisyah berkata walau apapun yang terjadi selepas ini, beliau akan tetap meneruskan karier sebagai atlet berbasikal kerana itu merupakan minatnya sejak kecil.

“Saya ada menerima tawaran untuk bekerja di pejabat Exco Sukan Terengganu. Walaupun saya mempunyai kerja tetap, kerjaya sebagai atlet tidak akan saya abaikan,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

-- BERNAMA