Atlet berbasikal lebuh raya Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir, meraih emas saingan lepas beramai-ramai wanita Sukan Malaysia (Sukma) hari ini untuk mempertahankan emas yang dimenanginya di Sarawak, dua tahun lalu.

Saingan hari ini membabitkan 30 pelumba dengan jarak 14.7km dari Arena Batu Kurau dan berakhir di Dataran Warisan, Taiping.

Nur Aisyah mengekalkan kedudukan pendahulu sejak permulaan saingan meskipun diberi tekanan oleh beberapa pelumba lain.

Dia dicabar hebat wakil Sarawak, Nur Azrenna Ahmad Jumry, yang memenangi perak, diikuti rakan senegeri, Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli, yang meraih gangsa.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini.

"Ini kali kedua saya memenangi acara ini selepas edisi lalu.

"Saingan kali ini lebih mencabar. Edisi sebelum ini saya berjaya melepasi peloton tetapi kali ini, semua negeri memberikan saingan yang sengit," kata Nur Aisyah.