Atlet Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir, menyasarkan slot dalam skuad negara sekiranya acara berbasikal dipertandingkan dalam Sukan SEA 2019 di Filipina.

Kayuhan bertenaga Aisyah menyaksikan dia tampil cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak selepas memperoleh tujuh pingat emas keseluruhan.

Empat daripadanya menerusi acara lebuh raya sebelum baki tiga lagi dilengkapkan di trek Velodrom Rakyat, Ipoh.

Pencapaian itu secara tidak langsung mengatasi pungutan lima pingat emas yang diraihnya di Sarawak pada edisi 2016.

Selain itu, ia turut menyamai kejayaan yang dilakukan atlet kanu Terengganu, Siti Rajiah Ali, yang memperoleh tujuh pingat emas pada edisi 2010 di Melaka.

Menurut Aisyah, kejayaan ini sudah pasti memberikan semangat lebih tinggi buat dirinya dengan menjadikan Sukan SEA sebagai matlamat berikutnya.

"Saya tidak menjangkakan kejayaan ini. Saya berharap dapat beraksi dengan lebih baik jika terpilih bersaing dalam Sukan SEA tahun depan," kata Aisyah.

Secara keseluruhan, penguasaan Terengganu dalam acara trek, khususnya untuk kategori wanita, sukar digugat.

Diterajui Aisyah, mereka memperoleh emas bagi saingan 3 kilometer kejar-mengejar individu serta berpasukan di samping keirin.

"Persiapan kami yang menguji ketahanan fizikal dan mental membenarkan pasukan Terengganu mencipta kejayaan dalam Sukma kali ini."