Atlet skuasy adik-beradik, Aifa dan Aira Azman, membuktikan mereka dalam kelas tersendiri apabila menjuarai acara berpasukan wanita dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 Perak, hari ini.

Aira, 14, menyumbang mata pertama untuk Kedah selepas mengetepikan cabaran M. Kiroshanna dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan keputusan 3-2 (11-5, 8-11, 11-4, 8-11, 11-3).

Kakaknya, Aifa, 17, tidak berdepan masalah menundukkan Ooi Kah Yan dengan straight set 3-0 (11-2, 11-4, 11-7).

Ketika ditemui kemudian, Aifa berkata pasukannya sangat berpuas hati dapat menebus kekalahan di tangan Wilayah Persekutuan dalam edisi Sukma Sarawak dua tahun lalu.

“Alhamdulilah, dapat kembalikan pingat emas untuk Kedah. Kami pernah memenangi (acara ini) pada edisi 2014 di Perlis,” katanya kepada pemberita di Arena Skuasy, Majlis Bandaraya Ipoh.

Menurutnya, pencapaian itu juga bermakna mereka berjaya merealisasikan sasaran mereka kali ini.

Perlawanan final hanya mengambil kira tiga perlawanan terbaik.

Sementara itu, acara berpasukan lelaki dimenangi Wilayah Persekutuan dengan keputusan 3-1 ke atas Sarawak.

Pemain kebangsaan, Ng Eain Yow, mengesahkan kemenangan dalam perlawanan penentuan dengan keputusan 3-0 (11-6, 11-5, 11-2) menewaskan Marcus Sim Wei Jie.​​​​​​​

Sebelum itu, Wilayah Persekutuan ketinggalan 0-1 kepada Sarawak setelah tewas ​​​​​​​perlawanan​​​​​​​ pertama di antara Jared Michael Nalliah dan Ma Teck Leck yang menyaksikan catatan 6-11, 7-11, 2-11.

Muhammad Aqif Ampandi menghidupkan semula harapan Wilayah Persekutuan dalam perlawanan kedua dengan kemenangan 11-8, 11-13, 11-4, 11-8 ke atas Nathan Kueh Tze Bing.

-- BERNAMA