Pemain badminton Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin, bersedia untuk menumbangkan seorang lagi pemain pilihan menjelang aksi final perseorangan lelaki saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak yang dijadualkan berlangsung petang ini.

Tidak dinafikan laluan Aidil ke final penuh dengan ranjau apabila dia perlu berdepan pilihan pertama, Leong Jun Hao, yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam suku akhir.

Begitupun, dia tampil dengan aksi penuh bertenaga untuk mengetepikan pemain kebangsaan itu.

Aidil meneruskan momentum cemerlangnya dengan menyingkirkan pilihan ketiga dari Pulau Pinang, Yeoh Seng Zoe, dalam separuh akhir menerusi keputusan straight set 21-12, 22-20.

Kini hanya tinggal pilihan kedua, Tan Jia Wei, menjadi halangan terakhir buat Aidil yang mengakui berasa sedikit tekanan bagi memastikan Selangor mempertahankan emas acara ini yang dimenangi oleh Soo Teck Zhi di Sarawak dua tahun lalu.

"Saya agak tertekan beraksi kali ini tetapi saya tetap mahu menampilkan persembahan terbaik," kata Aidil.

"Saya pernah berdepan lawan yang sama sebelum ini dan kalah, jadi saya mahu mengubah keputusan perlawanan kali ini."

Sementara itu, Jia Wei percaya rentak yang dibawa daripada acara berpasukan tempoh hari dapat membantunya untuk mengatasi Aidil dalam final.

Dia berpeluang untuk memburu emas berganda dalam kempen kali ini selepas Pulau Pinang mengungguli acara berpasukan lelaki dengan menewaskan Wilayah Persekutuan dalam final, Jumaat lalu.

"Dia seorang pemain yang berkualiti. Mengenali rentak permainannya, saya akan cuba berhati-hati dalam aksi final," kata Jia Wei.