Atlet terjun Selangor, Adeline Chin Wei Ling, memperoleh pingat emas acara 1 meter papan
anjal wanita dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak, sekali gus menebus kehampaannya dalam edisi dua tahun lalu.


Setelah menduduki tempat kedua dalam saingan di Sarawak pada 2016, Adeline turun dengan
status sebagai pilihan bagi aksi di Perak.

Ternyata dia tidak mengecewakan apabila menampilkan aksi konsisten dalam setiap terjunan,
menyaksikan dia mengumpul 243.15 mata keseluruhan untuk menamatkan saingan dengan emas.

Perak menjadi milik rakan sepasukan Adeline, Erica Pan Ying Xin, yang memperoleh 240.8 mata
manakala penerjun Wilayah Persekutuan, Ong Ker Yin, terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

"Saya rasa persembahan agak baik, sama seperti sesi latihan. Cuma ada kekurangan pada terjunan ketiga tetapi saya akan cuba lebih baik untuk aksi seterusnya.

"Selepas ini, saya memiliki acara 3m seirama, jadi diharapkan saya dapat mengekalkan emas selain unggul dalam 3m individu," katanya.

Sementara itu, Adeline percaya skuad terjun Selangor kali ini lebih mantap jika dibandingkan
dengan edisi terdahulu.

Langkah mengambil jurulatih dari China jelas memberikan impak tersendiri buat Selangor yang
memperoleh dua emas dalam saingan 2014.

"Saya rasa Selangor pada tahun ini lebih kuat. Kami telah menerima sentuhan jurulatih baru dari China dan prestasi kami semakin baik."

Acara platform seirama lelaki turut menyaksikan emas diraih Selangor menerusi kejayaan
gandingan adik-beradik, Muhd Haris dan Muhd Syahmi Mohd Rezal.

Ternyata terjunan yang dipamerkan sukar disaingi oleh tiga pencabar lain apabila menamatkan
saingan dengan jumlah 313.68 mata.

Kilauan perak menjadi milik Bertrand Rhodict Anak Lises serta Enrique Anak Harold yang mewakili
Sarawak manakala wakil tuan rumah, Asyraaf Haiqal Arsyad Mohammad dan Chan Min Hern
memastikan gangsa.