Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, antara lima nama yang lulus ujian doping, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap Jawatankuasa Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) sama ada angkat berat akan dipertandingkan dalam edisi di Johor tahun depan atau tidak?

Atlet dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang dalam memastikan skuad negara bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

Ia jelas terbukti apabila sampel air kencing lima atlet kebangsaan, yang turut membabitkan dua pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Azroy dan Aznil Bidin, menghasilkan keputusan negatif.

Perkembangan itu bermakna angkat berat patut dipertandingkan dalam Sukma Johor tahun depan selepas lebih setahun diletakkan dalam senarai menunggu.

"Saya merayu kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan menteri, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) untuk mempertimbangkan hal ini," kata Azroy.

Kebanyakan atlet negara masih menjalani latihan pusat di Kuala Rompin, Pahang menjelang Kejohanan Dunia di Thailand bermula 26 September ini.

"Apabila tindakan mengejut yang dilakukan dan dibuktikan dengan ujian yang negatif, ia membuktikan bahawa kami berpegang dengan apa yang kami janjikan dan mahu menuntut agar sukan angkat berat dipertandingkan dalam Sukma," kata Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.