Sukma 2020: Angkat berat mungkin dipertandingkan

Oleh Staff Writer 13 September 2019 261
Sukma 2020: Angkat berat mungkin dipertandingkan
Sukan angkat berat berpeluang cerah untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, membayangkan keputusan positif akan dicapai, minggu depan.

Status angkat berat akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Putrajaya, Khamis depan.

Ia susulan keputusan negatif sampel air kencing yang melibatkan lima atlet kebangsaan dan antara yang diuji adalah bekas juara Komanwel, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar dan Aznil Bidin.

"Ia perkembangan yang sangat baik, menunjukkan bahawa persatuan dan atlet komited dalam membentuk semula sukan angkat berat. Kami akan bawa perkembangan ini kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan dibincangkan bersama sebelum keputusan muktamad dibuat," kata Syed Saddiq.

Sebanyak 30 jenis sukan akan dipertandingkan dalam Sukma Johor, tidak termasuk angkat berat.

Terdahulu, Syed Saddiq menghadiri perhimpunan atlet podium di Seri Kembangan, Selangor buat kali pertama sejak dilantik selaku Menteri Belia dan Sukan, Julai tahun lalu.

"Kami mahu pastikan semua bergerak bersama seperti sebuah keluarga tanpa meletakkan tekanan hanya kepada atlet. Menteri, ketua kontinjen serta kementerian juga berdepan tekanan dan ia perlu dikongsi agar kejayaan ini diraih bersama."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen