Perkembangan mengenai Sukan Malaysia (Sukma) 2018, September depan, yang akan tetap diteruskan, melegakan beberapa persatuan sukan kebangsaan yang selama ini ternanti-nanti status temasya itu.

Malah, ada yang telah membuat persiapan awal dengan menyiapkan jadual dan format pertandingan, sebagai contoh, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang menghadiri Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukma, 2 April lalu.

"Setakat ini, tiada perubahan apa-apa. Apa yang pihak KRM jangkakan, ia berjalan seperti biasa.

"Mungkin selepas raya nanti, akan ada menyuarat melibatkan teknikal atau apa-apa kaitan untuk pelaksanaan Sukma 2018 ini," kata Ketua Delegasi Teknikal Ragbi 7's Sukma 2018, Fahmy Jalil.

Daripada sudut penyertaan pula, 14 negeri sudah mengesahkan penyertaan untuk kategori lelaki manakala sembilan negeri akan mengambil bahagian dalam kategori wanita.

Kali terakhir ragbi 7's dipertandingkan adalah ketika edisi ke-11 di Kuala Lumpur pada 2011.

"Dalam kategori lelaki, 14 pasukan akan mengambil bahagian manakala dalam kategori wanita, sebanyak sembilan pasukan akan mengambil bahagian.

"Kalau tidak silap saya, jumlah negeri yang bertanding adalah 15, termasuk Brunei," katanya lagi.