Atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Aqilah Yusof, meraih pingat emas bagi pusingan kelayakan acara recurve dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 hari ini.

Aqilah, yang sebelum ini melakar sejarah dinobatkan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) 2016, merangkul pingat emas pertamanya dalam SUKIPT yang disertai buat julung kalinya.

Dia mengumpul sebanyak 581 mata yang meletakkan Ang Ming Shan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pemenang pingat perak, diikuti Shaerra Ezzaty Saffuan dengan gangsa.

Walaupun pernah berdepan episod duka dalam Sukma selepas berdepan isu doping sibutramine dua tahun lalu, Aqilah bangkit bagi mendapatkan kembali prestasi terbaik dengan menjadikan pingat emas pertama tahun ini sebagai permulaan yang selesa.

"Kalau diikutkan faktor angin semasa berlatih di Terengganu lebih kuat.

"Di sini, biasa-biasa sahaja dan hanya kadang-kadang bertiup agak kuat," katanya.

Saingan recurve lelaki pula menyaksikan Mohd Alif Adha Hassan dari UPM merangkul pingat emas selepas mencatat 614 mata.

Aksi dalam pusingan kelayakan ini masih terlalu awal untuk dinilai sebelum dia terus fokus untuk aksi final pada Isnin depan.

"Individu akan bermula Isnin nanti. Berdasarkan pemerhatian saya mengenai angin dan keadaan padang, saya perlu meningkatkan fokus," katanya.