Sasaran Norliyana Kamaruddin untuk memastikan rekod kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 bagi acara heptatlon tercapai apabila berjaya mencatat kutipan mata tertinggi untuk meraih pingat emas di Bangi, hari ini.

Norliyana, yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), menamatkan acara terakhir 800 meter heptatlon bagi mengumpul jumlah mata tertinggi, 4,595 mata, untuk mengatasi rekodnya sendiri, 3,730 mata.

Semestinya ia satu pengakhiran terbaik buat atlet berusia 27 tahun itu dalam penyertaan SUKIPT terakhirnya biarpun masih lagi bergelut dengan kecederaan lutut sejak tahun lalu.

"Saya memang menyasarkan rekod kejohanan tetapi hanya fokus untuk menghabiskan tujuh acara dalam heptatlon ini," katanya.

Buat masa ini, tiada lagi perancangan untuk berlatih di luar negara kerana dia ingin fokus terhadap proses pemulihan sebelum Sukan Asia Jakarta/Palembang, Ogos depan.

Begitupun, Norliyana tetap mengharapkan penyertaan dalam kejohanan di luar negara.

"Mungkin program untuk saya bersama pasukan kebangsaan itu ada tetapi mereka mahu menilai keputusan dalam SUKIPT ini terlebih dahulu.

"Memandangkan jarang acara heptatlon dipertandingkan di Malaysia, jadi saya mungkin menyertai pertandingan di luar negara.

"Tetapi, soal berlatih saya tidak kisah diadakan di dalam negara."

Sementara itu, acara ragbi 7's mengakhiri saingan dengan pasukan UiTM muncul juara sulung kategori wanita.

UiTM mengorak langkah pada awal separuh masa pertama dengan mengutip 12 mata tanpa balas sebelum menundukkan UPM 24-0.

"Saya mengimpikan untuk muncul juara dalam SUKIPT.

"Saya amat berpuas hati dengan pasukan saya dan UiTM telah menunjukkan prestasi terbaik dalam edisi kali ini," kata ketua pasukan UiTM, Rozalina Ridwan.

Acara tumpuan di Padang A UPM pastinya membabitkan perhitungan di antara UPM Angels dan UIA Mustangs dalam perebutan juara kategori lelaki.

Juara bertahan, UPM, di hadapan 12-7 pada separuh masa pertama, namun UIA bangkit pada babak seterusnya untuk mengejutkan UPM 19-17.

"Kemenangan ke atas UPM sungguh tidak disangka-sangka.

"Perlawanan membabitkan kami semuanya sengit. Saya berterima kasih kepada jurulatih yang memaki-hamun kami, saya terima dengan redha Allah.

"Kami berusaha dan ini semua tawakal kerana tanpa izin-Nya, kami tidak boleh berbuat apa-apa," kata Muhammad Mohamed Ilham.