Pingat emas pertama Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 menjadi milik skuad taekwondo dari HELP University bagi acara poomsae berpasukan lelaki selepas berjaya menyingkirkan juara bertahan tiga kali, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Bangi, hari ini.

HELP University yang sering menjadi pencabar utama akhirnya berjaya merampas mahkota kejuaraan UMS yang kekal memenangi acara itu berturut-turut sejak edisi 2012.

Semestinya kemenangan itu begitu bermakna kerana terdapat salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan, namun tetap menampilkan aksi yang kemas untuk memikat hati barisan juri.

Tambahan pula, sedikit kesilapan yang dilakukan oleh atlet UMS pada saat-saat akhir menjadi bonus kepada mereka untuk bergelar juara.

"Selepas gigih berlatih, saya berpuas hati dan kami berasa gembira dengan kemenangan ini.

"Kami tetap berlatih biarpun ketika cuti. Dengan pengorbanan ini, kejayaan ini berbaloi," kata salah seorang wakil HELP University, Low Hong Jac.

Dominic Sew Khai Yuan tidak menolak fokusnya sedikit terganggu sehingga membawa kepada kesilapan yang menjejaskan mata skuad UMS, seterusnya membuka peluang kepada seteru mereka untuk meraih emas buat julung kalinya dalam acara berkenaan.

"Saya tidak kesal kerana kami telah memberikan yang terbaik.

"Kami juga berlatih lebih kuat dan menyertai kejohanan di peringkat yang lebih mencabar demi memberikan saingan hebat kepada lawan kami," katanya.