Perenang kebangsaan, Caroline Chan dan Asmalia Filzati Redzuan, menganggap Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 ibarat pentas pemanas badan untuk mereka apabila mudah meraih pingat emas dan memperbaharui rekod kejohanan acara 200 meter kuak lentang wanita pada hari pertama acara itu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kebanyakan perenang kebangsaan tiada masalah untuk menguasai acara masing-masing pada hari pertama kejohanan walaupun mewakili institusi pengajian tinggi yang berbeza.

Caroline, yang mewakili Sunway University, mudah menewaskan Angela Chieng dari Universiti Putra Malaysia (UPM), selepas mencatat masa terpantas 2 minit 38.39 saat untuk memadam rekod kejohanan berusia enam tahun milik Chui Lai Kwan, 2 minit 47.69 saat.

Perenang gangsa Sukan SEA 2017 itu melabel saingan dalam SUKIPT tidaklah terlalu tinggi dan boleh diibaratkan sesi pemanas badan untuknya sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, April depan, yang akan menjadi penyertaan pertamanya.

"Rekod itu tidak terlalu pantas, sebab itulah saya mampu memecahkannya.

"Ini kejohanan kecil, jadi dalam perlumbaan ini,y saya bukanlah mahu menjadi terpantas, sebaliknya mahu meningkatkan beberapa aspek seperti kemahiran renangan saya," kata Caroline.

Atlet pelapis negara, Asmalia Filzati Redzuan, paling mencuri tumpuan pada hari pertama saingan apabila meraih dua emas (100m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas) dan dua perak (800m gaya bebas dan 4x200m gaya bebas).

Melihat kepada saingan setakat ini, atlet berusia 19 tahun itu percaya dia masih mampu membolot tiga lagi pingat pada hari seterusnya.

"Saya tidak berdepan banyak saingan, namun saya tidak boleh memandang rendah lawan saya.

"Mereka juga berlatih.

"Saya memburu lima emas di sini dan berharap mampu buat lebih baik lagi," kata Asmalia.