Atlet bukan pilihan melakar kejutan untuk mengungguli pusingan kelayakan acara memanah compound individu lelaki dan wanita pada hari kedua Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 hari ini.

Alang Arif Aqil Muhammad Ghazali dari Universiti Multimedia dan Nur Aina Yasmine Halim dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) masing-masing berjaya meraih pingat emas selepas mencatat mata tertinggi keseluruhan.

Alang yang merupakan atlet kebangsaan mengumpul 663 mata, tidak jauh meninggalkan Muhammad Hakhiki Mohd Kamro dengan perbezaan tiga mata sahaja.

Dia pada awalnya jauh ketinggalan di belakang tatkala Hakhiki dan pemenang pingat gangsa, Muhammad Fahrur Rosi, kekal dalam kelompok tiga teratas.

Namun, angin yang makin kuat pada saat akhir menjejaskan aksi mereka dan seterusnya memberi ruang kepada Alang yang kekal fokus untuk mengungguli saingan.

"Dalam saingan pagi, angin agak kuat dan persembahan sendiri tidak memberangsangkan sehingga saya berada di luar kelompok lima terbaik.

"Dalam set kedua, angin semakin kuat tetapi saya mendapat rentak untuk bangkit," kata Alang.

Yasmine pula semestinya tidak menjangka kemenangan berpihak kepadanya apabila tumpuan utama lebih terarah kepada pmenang pingat emas Sukan SEA 2017, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

Fokus Fatin dilihat mula tidak konsisten dalam keadaan angin tidak menentu dalam pusingan ketujuh sehingga kedudukannya tergelincir di tangga keempat dan berjaya diatasi Yasmine dengan jumlah 642 mata.

"Prinsip saya semua peserta boleh dapat medal.

"Kalau atlet lain risau dengan keadaan angin, saya tidak mahu menunjukkan kelemahan dan bersikap tenang," katanya.

Tempat kedua dimenangi Syarah Syuhaidah Abas (Universiti Putra Malaysia) dan Iman Aisyah Norazam (UNISZA), ketiga.