Sukar tetapi tidak mustahil untuk skuad ragbi 15's negara melakar kejutan selepas senarai 23 pemain sudah diputuskan bagi bawa cabaran dalam Kejohanan Asia Premier 2018 bermula 28 April ini.

Seramai 23 pemain telah diputuskan jurulatih, Lee Nyuk Fah, Jumaat lalu untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi pembukaan berdepan Korea Selatan terlebih dahulu.

Agak sukar untuk membuat pemilihan terbaik kali ini dengan ketiadaan tonggak utama, K. Dineshvaran, yang masih bergelut dengan kecederaan.

Hanya lima pemain sseparuh profesional tatkala 18 lagi merupakan pemain amatur yang akan berdepan cabaran getir, Sabtu depan.

"Kami mempunyai beberapa pemain baru yang telah disenaraikan dalam kelompok 23 pemain, antaranya adalah Lawrence Petrus dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan terdapat juga beberapa pemain lama yang dalam pasukan ketika ini," kata Nyuk Fah.

Meskipun bakal berdepan saingan sengit, Nyuk Fah percaya kemampuan barisan pemain yang perlu berusaha keras apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Ia juga susulan perkembangan positif yang ditampilkan pasukan dalam kem latihan pusat di New Zealand bulan lalu.

"Ini adalah kejohanan pertama bagi pasukan Malaysia dalam aksi Asia Premier. Ia juga menampilkan Hong Kong dan Korea Selatan yang berada dalam ranking dunia yang lebih baik, sambil rata-rata pemain mereka merupakan kelompok profesional."