Masalah pengesahan penyertaan dikatakan menjadi punca empat atlet olahraga kebangsaan tidak dibenarkan beraksi dalam acara masing-masing dalam Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali hari ini.

Empat atlet terbabit ialah jaguh 200 meter, Russel Alexander Nasir Taib dan Aqil Yasmin, atlet lompat bergalah, Iskandar Alwi, dan atlet lompat kijang wanita, R. Kirthana.

Pengurus skuad olahraga negara, Abdul Malik Mohd Tobias, menjelaskan keempat-empat atlet itu sepatutnya turun beraksi hari ini, namun dihalang untuk berbuat demikian dengan alasan tiada pengesahan dilakukan kontinjen Malaysia mengenai penyertaan mereka.

"Dan apabila kami menghantar satu salinan di perkampungan (sukan), mereka kata tidak pasti lagi sama ada boleh membuat rayuan atau tidak.

"Saya tanya balik, kenapa tak boleh sedangkan kami sudah buat pengesahan awal?

"Kenapa saya nak kena sahkan hari-hari benda ni?

"Isunya sebab masa 5 haribulan (Julai) itu mereka ada masalah.

"Mereka tak boleh sediakan senarai pelumba sebab ada yang tidak buat pengesahan lagi.

"Disebabkan itu, ada beberapa negara, saya rasa dalam berbelas-belas yang disebut-sebut itu, tidak buat pengesahan lagi.

"Jadi, maksud pengesahan itu saya tidak pasti," katanya.

Menurutnya lagi, larangan itu bukan sekadar membabitkan atlet Malaysia tetapi juga melibatkan atlet dari beberapa negara bertanding.

Terdahulu, Russel memuat naik status dalam laman Facebooknya untuk melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan penganjur yang tidak membenarkannya mengambil bahagian.