Kapten skuad ragbi 7s negara, Zulkiflee Azmi, mahu rakan sepasukan mengambil peluang untuk melakukan persiapan lebih rapi supaya dapat mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Filipina, 30 November-11 Disember depan.

Skuad ragbi 7s negara dapat menarik nafas lega kerana telah mengikat kontrak program latihan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan ke Sukan SEA Filipina.

Tempoh kali ini lebih panjang berbanding ketika persiapan untuk Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Zulkiflee percaya ia memberi kelebihan yang baik buat pasukan.

Antara syarat yang ditetapkan adalah pemain skuad 7s negara tidak dibenarkan beraksi dalam pertandingan membabitkan skuad utama, iaitu 15 sepasukan.

"Kami telah memulakan latihan selepas menandatangani kontrak bersama MSN. Kami berharap dapat mempertingkatkan lagi persefahaman antara pemain serta menyertai kejohanan bagi memantapkan pasukan," katanya.

Antara 16 pemain yang ditawarkan kontrak oleh MSN, 10 adalah daripada skuad emas Sukan SEA 2017 manakala baki enam pemain lagi merangkumi lima muka baru di samping kelibat bekas pemain, Anwarrul Hafiz Ahmad.

Anwarrul pernah mewakili negara dalam Sukan SEA 2015 di Singapura bersama Zulkiflee sebelum beralih haluan ke saingan bola sepak untuk menyertai pasukan UiTM FC.

"Saya pernah beraksi bersama Anwarrul. Kepantasannya merupakan aset dan kami akan membantunya mendapatkan semula rentak beraksi bersama pasukan," kata Zulkiflee lagi.