Jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed, tidak cepat melatah dengan ketiadaan petanque dalam senarai 30 sukan dalam Sukan SEA Filipina 2019, sebaliknya optimis mereka akan berjaya dalam proses rayuan selepas mendapat sokongan daripada tujuh negara.

Sukan itu tidak pernah terlepas daripada dipertandingkan dalam Sukan SEA sejak 2001 dan ketiadaannya di Filipina nyata memeranjatkan sesetengah pihak.

Punca petanque dikeluarkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) adalah kerana kegagalan Filipina meraih sebarang pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu selain soal ketiadaan gelanggang.

Bagaimanapun, Zani tidak melihat dua isu itu sebagai masalah besar memandangkan kos kemudahan petanque tidak terlalu besar selain komitmen persatuan sukan itu di Filipina dalam proses rayuan.

"Mereka melalui majlis Olimpik masing-masing membuat rayuan supaya sukan ini dimasukkan. Kerana apa? Kerana bagi mereka, emas hanya daripada sukan ini. Kalau sukan ini tiada, mereka tiada emas.

"Jadi, saya rasa, seperti Thailand dan Vietnam, ia adalah sukan yang membolehkan mereka meraih emas. Apabila majlis Olimpik masing-masing membuat rayuan, saya rasa jawatankuasa Sukan SEA, mahu atau tidak, akan menerimanya.

"Apabila tekanan daripada enam atau tujuh negara yang memohon, sukan itu akan dimasukkan, berbanding sukan lain yang tidak begitu popular," katanya.

Menurut Zani lagi, adalah satu kerugian jika petanque tiada dalam Sukan SEA memandangkan ia bakal dipertandingkan dalam Sukan Asia 2022 dan kemungkinan Sukan Olimpik 2024.

Malah, dia yakin dua emas yang dituai Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu ditambah di Filipina berdasarkan peningkatan atlet-atlet muda di bawahnya.

"Petanque ini adalah penyumbang emas. Kalau tiada, makin kurang emas. Saya yakin kalau petanque diadakan, kategori wanita yang kita belum dapat emas, akan dapat.

"Sebab pemain yang saya bina ketika Sukan SEA 2017 adalah untuk menuai hasil di Manila nanti," kata Zani lagi.