Tidak ada tiket percuma buat mana-mana gimnas yang membarisi skuad lelaki ke Sukan SEA Filipina 2019 termasuk buat dua tonggak, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie.

Jurulatih skuad lelaki, Ng Shu Liang, sudah merancang tiga sesi pertandingan simulasi bermula 7 Mei lalu untuk menentukan kelayakan ke Sukan SEA.

Dalam ketiadaan acara berpasukan di Filipina, hanya empat atau lima gimnas akan dipilih bagi kempen edisi kali ini.

Pendekatan itu diharapkan dapat meningkatkan kualiti latihan pusat buat prospek pingat emas, Jeremiah dan Fu Jie.

"Kami ada satu lagi kejohanan di Singapura pada 1 hingga 3 Jun depan. Kemudian, ada kejohanan di Mongolia," kata Shu Liang.

Sementara itu, Jeremiah dan Fu Jie mencipta rekod peribadi apabila layak beraksi di pentas final siri bertaraf Piala Cabaran Dunia di Zhaoqing, China kelmarin.

Ia menjadi pencapaian yang membanggakan meskipun mereka gagal menempatkan diri di podium.

"Atlet akan dipilih melalui sesi ujian kawalan. Ia bukan sekali tetapi akan diadakan tiga kali dan kutipan mata dua terbaik akan dibincangkan kemudian hasil daripada purata."