Skuad ragbi 15 sepasukan negara sudah membuktikan penguasaan mereka di rantau Asia, menjadikan Malaysia kini makin digeruni dalam sukan ini.

Namun bolehkah kejayaan itu diteruskan oleh skuad 7 sepasukan negara dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos nanti?

Sukan ragbi jarang sekali dipertandingkan dalam temasya itu kerana dilihat gagal memberi kelebihan buat tuan rumah.

Daripada 28 temasya Sukan SEA, hanya lima edisi sukan ragbi dipertandingkan dan untuk penganjuran kali ini, Malaysia masih menyenaraikan sukan ini memandangkan ia prospek yang mampu menghadirkan kilauan emas.

Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia hanya mampu meraih satu perak menerusi skuad lelaki manakala skuad wanita sekadar meraih tempat keempat.

Skuad ragbi 7 sepasukan negara kini giat menjalani latihan dan mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan di luar negara dengan harapan menggapai emas di laman sendiri.

Jika itu mampu dilaksanakan, ia akan menjadi pencapaian terbaik negara.

"Kalau berdasarkan Sukan SEA yang lepas, sasaran kami adalah pingat emas. Memang kami berusaha untuk menukar warna pingat perak kepada emas.

"Bermain di laman sendiri memang satu kelebihan. Kami akan cuba mencapai sasaran itu, Insya-Allah," kata jurulatih, Mohd Saiful Hafifi.

Persiapan mantap juga dilaksanakan oleh skuad wanita negara yang dibentuk sejak November tahun lalu.

Skuad bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Mat itu menampakkan peningkatan mendadak dan diyakini mampu menghadirkan sebutir pingat untuk kem negara.

"Kami tidak kisah apa warna pingat sekali pun, cuma tahun ini memang kami mengharapkan pingat," kata Safuan.

"Buat masa ini, kami sudah berlatih sepenuh masa dari bulan November tahun lalu sampai sekarang.

"Kami bersedia apa yang patut, lagipun sebahagian besar adalah pemain baru yang kali pertama bermain dalam Sukan SEA," kata kapten skuad wanita negara, Nor Masyirah Zahari.

Ragbi 7 sepasukan Sukan SEA menawarkan hanya dua emas, iaitu bagi kategori lelaki dan wanita.

Acara itu akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dari 19 hingga 20 Ogos.