Kapten skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Zulkiflee Azmi, yakin mereka mampu mencipta sejarah meraih pingat emas pertama daripada sukan itu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Keyakinan itu dilaungkan selepas melihat keserasian antara pemain semakin erat meskipun separuh daripada mereka adalah muka baharu.

Persiapan kali ini juga disifatkannya jauh lebih baik berbanding edisi lalu di Singapura yang menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada Filipina.

Untuk Sukan SEA tahun ini, skuad negara telah menjalani latihan sejak November lalu, berbanding hanya dua bulan persiapan pada 2015.

“Persefahaman pasukan semakin mantap, malah saling memahami di dalam dan luar padang. Kami sudah cukup bersedia.

“Peminat ragbi menantikan sesuatu daripada pasukan negara. Jadi, kami bertekad mencipta sejarah baharu memburu emas pertama dalam Sukan SEA.

“Walaupun fizikal pasukan lain mungkin berbeza, skuad negara kali ini memiliki kekuatan daripada segi kepantasan pemain,” kata Zulkiflee.

Menurut pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad, pemain-pemain negara menunjukkan semangat membanggakan dan berharap ia dikekalkan.

“Pasukan ini telah bersama-sama dalam tempoh yang lama dan itu adalah kelebihan utama untuk menggalas cabaran negara.

“Mereka begitu positif dapat merampas pingat emas kali ini,” tambahnya yang ditemui pada hari terakhir selepas berkampung di Terengganu, sejak Ahad lalu.

Turut diadakan ialah siri perlawanan pemanas badan bertemu skuad bawah 20 tahun negara dan Pasukan Ragbi Terengganu (TRT).

Enam belas pemain negara di bawah kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor juga berkesempatan mengadakan kem bina semangat serta aktiviti komuniti di Pulau Redang.

Empat pemain akan digugurkan dan senarai lengkap 12 nama akan diumumkan, awal bulan depan.