Kehadiran semula dua bekas jurulatih, Syed Ali Syed Akil dan Zanilisa Mohamed, dilihat bakal menjadi azimat bagi atlet petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, untuk mempertahankan pingat emasnya dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

Atlet berusia 26 tahun itu yang bakal menyertai temasya berkenaan buat kali kelima berkata corak latihan yang tidak tertekan menjadi antara formula dirinya dan rakan sepasukan yang lain lebih bersemangat menjalani latihan yang diadakan.

"Kami yakin mampu membawa pulang emas. Selain jurulatih, kehadiran rakan sepasukan yang lama juga menyuntik semangat kami untuk membawa pulang emas kali ini," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat baru-baru ini.

Atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyerahkan keputusan tersebut kepada kebijaksanaan jurulatih dan pengurusan pasukan untuk menyertai acara dalam kejohanan terbabit.

"Kami (rakan sepasukan) satu kepala. Jadi diletak di mana-mana acara pun tak kisah kerana latihan kami dilakukan secara menyeluruh."

Bakal menyertai beberapa kejohanan tempatan nanti, Hafizuddin mengakui penyertaan itu sudah cukup bagi pasukan petanque negara menghadapi Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Setakat ini, hanya satu kejohanan antarabangsa yang disertai kami awal tahun ini di Pattaya, Thailand. Keputusan agak baik dengan kami meraih perak dalam acara double. Jadi untuk menghadapi Thailand, Kemboja dan Laos di Filipina nanti, ia bukan masalah besar sebab ikut keputusan pun, kalau kalah, hanya kalah tipis," tambahnya.

Hafizuddin melakar sejarah buat sukan petanque negara apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas muncul juara perseorangan lelaki dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Atlet yang berkhidmat sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu meneruskan aksi cemerlangnya dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan mempertahankan gelaran juara perseorangan apabila mengalahkan lawan dari Thailand, Kiatkong Tanong, dalam aksi final.

Dalam edisi lalu di Kuala Lumpur 2017, skuad petanque negara secara keseluruhannya meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.

-- BERNAMA