Penyertaan kali pertama dalam Sukan SEA 2013 menyaksikan skuad muay thai negara mencipta kejutan dengan membawa pulang dua pingat emas.

Empat tahun berlalu, kini harapan terletak di bahu pemenang pingat perak ketika itu, Mohamad Rofi Abdul Manaf, selepas dua watak utama dalam saingan di Myanmar, Mohamad Faizal Ramli, telah bersara manakala Mohamad Lokman Akimi mengalami kecederaan jangka panjang.

Rofi akan bertanding dalam kategori 63.5 kilogram dan dia mahu memastikan aksi dalam temasya pada 19 hingga 30 Ogos depan mampu membawa pulangan pingat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Harapan saya mahu meraih pingat emas untuk Malaysia,” kata Rofi.

Nada berbeza disuarakan atlet paling senior, Tengku Sharizal Tengku Abdul Rahman, memandangkan dia bakal mengharungi Sukan SEA yang pertama.

Atlet berusia 31 tahun itu berkata dia mungkin mengalami sedikit kesukaran disebabkan format yang digunakan.

“Ada sedikit perbezaan, pertarungan profesional banyak menggunakan kekuatan dan tenaga berbanding amatur yang fokus kepada kelajuan dan mata,” ujar Sharizal.

Bagi jurulatih, Bernard Radin, dia tidak mahu memberi terlalu banyak tekanan kepada anak-anak buahnya sambil menyifatkan faktor beraksi di laman sendiri akan memberi kelebihan.

“Saya yakin kerjasama daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta semua pihak membolehkan sasaran dicapai, malah lebih baik berbanding edisi sebelum ini,” jelas Bernard.