Sukan SEA: Skuad hoki dalam dewan sedia pertahan emas

Oleh Staff Writer 26 Mac 2019 142
Sukan SEA: Skuad hoki dalam dewan sedia pertahan emas
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Argentina 2018, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, merupakan antara 12 pemain yang tersenarai dalam skuad hoki dalam dewan negara ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Skuad hoki dalam dewan negara akan memulakan kem latihan pusat di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Kampung Baru, Sabtu ini.

Cabaran buat barisan kejurulatihan negara apabila tidak dibenarkan mengambil pemain yang terikat dengan kem latihan skuad senior kebangsaan.

Namun, ia tidak akan menghalang Malaysia untuk mempertahankan pingat emas acara lelaki, termasuk merampas gelaran acara wanita, memandangkan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) tidak mempertandingkan hoki padang yang sebelum ini didominasi Malaysia.

"Terdapat beberapa pemain daripada skuad Sukan Olimpik Remaja dan pemain lain yang mampu beraksi dalam dewan akan dipanggil.

"Mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan harap-harap kami akan dapat memberikan sesuatu buat negara," kata penolong jurulatih negara, Megat Azrafiq Megat Termizi.

Terdahulu, 14 jurulatih dari seluruh dunia, termasuk Megat Azrafiq, menerima sijil kejurulatihan tahap 3 Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Ipoh, hari ini. 

"Sebelum ini, ia lebih berasaskan kepada negara Asia, namun tahun ini, kami menerima penyertaan dari seluruh dunia," kata Pengurus Pendidikan dan Akademi FIH, Andre Oliveira.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen