Skuad chinlone bersedia menghadirkan pingat emas pertama buat negara di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Acara chinlone akan membuka tirai lebih awal pada 16 Ogos ini.

Skuad negara mensasarkan emas dalam acara linking ekoran edisi kali ini tidak disertai Myanmar yang merupakan pasukan pilihan.

Sewaktu menjalani latihan intensif di Myanmar bulan lalu, mereka muncul juara dalam satu kejohanan tempatan bagi acara linking.

Senario itu lantas memberi bayangan kem negara berpeluang menghadirkan emas.

Ketua jurulatih, Yusof Abdullah, percaya anak buahnya hanya perlu kekal konsisten sehingga Sukan SEA bermula.

"Acara tiga melibatkan setiap individu menguasai enam kemahiran dalam permainan chinlone yang dipanggil linking.

"Dalam permainan chinlone, ada enam pemain dan setiap daripada mereka perlu mahir kesemua enam teknik," jelas Yusof.

Skuad negara turut menerima suntikan positif apabila mendapat khidmat bekas jurulatih Myanmar, Khin Maung Win, yang pasti memberi manfaat buat pasukan untuk mempelajari teknik lebih berkesan.

"Sebelum ini juga, kami sudah berlatih di bawah kendaliannya, termasuk ketika di Singapura. Jadi, kami memiliki hubungan yang sangat baik," ujar atlet chinlone negara, Muhaime Che Bongsu.