Pengurus skuad ragbi 7's kebangsaan, Dr Ahmad Naim Ismail, menjelaskan pihaknya hampir mencapai persetujuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai situasi yang dihadapi ketua pasukan, Zulkiflee Azmi.

Sebelum ini, Zulkiflee berada dalam dilema kerana akan mengikuti kursus asas kadet inspektor PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, selama sembilan bulan bermula kelmarin.

Ia sekali gus mencetuskan kemungkinan dia terpaksa melupakan khidmatnya bersama skuad kebangsaan, terutama dalam saingan Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Begitupun, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan perbincangan bersama PDRM mengenai kedudukan Zulkiflee.

Dia akan menjalani latihan selama tiga bulan bersama PDRM sebelum diberi pelepasan untuk menyertai skuad negara.

"Kami tidak boleh menganggunya dalam tempoh tiga bulan pertama latihannya di Pulapol.

"Saya harap selepas itu kami boleh berbincang dengan PDRM untuk mendapatkan khidmatnya.

"Perbincangan masih dijalankan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Naim mengharapkan Institut Sukan Negara (ISN) dapat terus memainkan peranan mereka dalam membantu atlet negara apabila ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik kelak.

Naim merupakan salah seorang daripada enam calon yang telah menjalani proses temuduga bagi jawatan berkenaan.

"Saya akan terima dengan hati terbuka tidak kira apa juga keputusan temuduga itu nanti.

"Apapun, ISN juga perlulah menawarkan sesuatu yang luar biasa merangkumi sains sukan, psikologi dan analisisnya kalau kita inginkan pingat emas," ujarnya.