V.K. Ravin menjelmakan potensi untuk kilauan pingat emas acara karate dalam Sukan SEA Kuala Lumpur -- 19 hingga 30 Ogos depan -- selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam Kejohanan Karate Terbuka Malaysia di ibu negara, hari ini.

Ravin mencuri tumpuan dalam aksi final kumite bawah 75kg apabila tampil penuh bertenaga ketika berdepan Ahmad Nickazmie dari Sabah.

Diberi tentangan hebat di awal pertarungan, atlet berusia 21 tahun itu tenang mengawal asakan sebelum beberapa tendangan tepatnya memastikan kemenangan 9-1.

Kejayaan sulung tahun ini yang diraih Ravin itu sudah pasti meletakkan dirinya sebagai pilihan utama dalam Sukan SEA nanti.

"Saya memiliki keyakinan menjelang Sukan SEA kerana sering meraih keputusan 9-1, 8-1 dalam kejohanan.

"Itulah keputusan terbaik yang boleh diberikan setiap atlet dan itu yang saya sumbangkan," katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013, Lim Chee Wei, menepati ramalan apabila menundukkan rakan senegara, Oh Theng Wei Ivan, 3-2, untuk memenangi emas acara kata individu lelaki.

"Persediaan untuk menghadapi Sukan SEA bukanlah mudah buat saya.

"Ini hanyalah perlawanan ujian yang menjadi medan ujian buat saya menilai sejauh mana pencapaian dan persembahan saya.

"Bagi saya, persembahan hari ini hanyalah di tahap 70 peratus.

"Banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki," ujar Chee Wei.