Kontinjen Malaysia muncul kontinjen terbesar ke Sukan SEA Kuala Lumpur dengan 874 atlet, termasuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam misi memburu juara keseluruhan, bulan depan.

Malaysia melaungkan amaran untuk muncul juara keseluruhan dalam temasya dwitahunan itu apabila menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaannya.

Bagaimanapun, Malaysia hanya memiliki kelebihan 13 atlet ke atas pencabar utama, Thailand, selaku juara bertahan.

Apa yang menarik, kehadiran Sultan Mizan dan Khairy mampu jadi pembakar semangat untuk mencapai sasaran muncul juara keseluruhan.

"Saya berasa bangga tetapi pada masa sama sedikit tertekan kerana selain menjaga kebajikan atlet muda, saya juga perlu menjaga kebajikan seorang sultan dan seorang menteri," kata chef-de-mission kontinjen negara, Datuk Marina Chin.

Sebanyak 405 pingat emas dipertandingkan, dengan Malaysia menarik diri daripada tujuh acara.

Persatuan sukan kebangsaan tidak menghantar atlet dalam acara renang 200 meter kuak kupu-kupu wanita, olahraga10,000m lelaki dan wanita, 3,000m lari berhalangan wanita, maraton wanita serta skuasy jumbo lelaki dan wanita.

"Persatuan sukan kebangsaan mahu memberikan semua atlet peluang yang sama rata.

"Jadi, kami enggan mencampuri keputusan mereka kerana sudah pasti mereka ada alasan tersendiri dalam pemilihan atlet," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Tahun 2001 merupakan kali terakhir Malaysia muncul juara keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, meminta peminat menghentikan kecaman terhadap skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara.

Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, berdepan masalah untuk mengumpulkan pemain dalam kem latihan pusat kebangsaan ekoran jadual padat Liga Malaysia.

Apatah lagi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyenaraikan 123 pemain membabitkan bola sepak lelaki dan wanita serta futsal lelaki dan wanita, sekaligus jumlah paling ramai dalam kalangan atlet bagi 38 acara.

Lantaran itu, mereka memerlukan sokongan pada saat genting ini.

"Sasaram utama adalah untuk mara sehingga ke separuh akhir dan selepas itu barulah menilai langkah seterusnya.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memberikan sokongan sepertimana yang diperlukan setiap atlet yang bertanding," jelas Shapawi.