Pelari pecut kebangsaan, Nixson Kennedy, berdepan cabaran getir apabila terpaksa bergelut merebut dua slot acara perseorangan bagi mewakili negara dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

Dia yang baru pulih daripada kecederaan paha kanan sudah mula melakukan latihan setelah berehat selama lima minggu.

Kehadiran semulanya ke trek menyaksikan dia terpilih mewakili negara dalam Terbuka Vietnam bulan depan selain memburu slot ke Sukan SEA 2019 dengan sasaran mahu memperbaiki catatan terbaik peribadi, 10.42 saat.

Atlet berusia 24 tahun itu sedar dia perlu menggunakan sepenuh tenaga bagi merebut dua slot acara pecut 100 meter tatkala pencabar lain seperti Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail turut menyimpan hasrat sama.

"Tiada masalah untuk kelayakan Sukan SEA. Untuk individu, semua tahu banyak persaingan di Malaysia ketika ini, malah jumlah pelari pecut semakin bertambah. Ia sengit tetapi saya senior, mungkin saya mempunyai pengalaman untuk menghadapinya," katanya.

Selain pecut individu, Nixson juga optimis dapat membarisi kuartet 4x100m dengan harapan sekali lagi mampu memecahkan rekod kebangsaan.

"Saya sudah tetapkan mental untuk tidak memikirkan kecederaan. Saya yakin telah sembuh 100 peratus," katanya lagi.