Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, meletakkan sasaran empat pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 selepas tuan rumah mengurangkan jumlah acara dipertandingkan.

Menjelang Sukan SEA, November depan, Malaysia hanya menyasarkan emas melalui acara beregu lelaki dan wanita, berpasukan wanita dan diikuti masters wanita daripada sembilan pingat yang dipertandingkan.

Sebelum ini, skuad boling tenpin negara meraih tujuh emas daripada 11 acara yang dipertandingkan dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Fokus utama dan sasaran kami tahun ini adalah Sukan SEA. Sudah tentu kami akan turun untuk mempertahankan kejuaraan tetapi kami masih mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Sukan SEA," kata Chok.

"Sasaran yang ditetapkan adalah empat emas memandangkan terdapat beberapa acara tidak dipertandingkan dan kami akan cuba yang terbaik."

Sementara itu, skuad boling negara bakal menghadapi tiga kejohanan terbuka di Sepanyol, Singapura dan Hong Kong sebagai persiapan rapi bagi merebut emas di Filipina.

MTBC akan mengumumkan senarai nama yang akan dipertaruhkan di Filipina sebelum Ogos depan.

"Kami bukan hanya menilai berdasarkan prestasi dalam kejohanan kerana sebelum ini, terdapat atlet boling yang tidak beraksi dalam saingan yang sama.

"Tahun ini, kami meletakkan semua atlet dalam kejohanan sama. Sebab itu, kami menghantar skuad kedua ke Eropah dan ditanggung MTBC," tambah Chok.