Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada semua jenis sukan bagi menyertai Sukan SEA Manila 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan biarpun beberapa sukan tidak bernaung di bawah MOM.

Pada awalnya, Malaysia hanya meletakkan sandaran dalam 41 jenis sukan daripada 56 yang dipertandingkan di Manila.

Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis sukan yang masih menyimpan hasrat untuk menyertai temasya dwi-tahunan itu biarpun persatuan sukan mereka tidak bernaung di bawah MOM ataupun Majlis Sukan Negara (MSN) dan lebih teruk, mereka bergerak tanpa persatuan sukan rasmi.

MOM membuka pintu untuk atlet-atlet daripada sukan seperti hoki dalam air, sambo, larian berhalangan ataupun arnis andai ada wakil yang ingin menyertai Sukan SEA dan mereka diminta tampil
untuk membincangkan syarat kelayakan yang berkaitan.

Dalam masa sama, MOM masih mahu memastikan skuad Malaysia yang bertanding dalam kategori B mampu untuk menghadirkan cabaran dan bukan sekadar pelengkap jadual.

"Ada beberapa jenis sukan atau atlet yang tidak bernaung di bawah persatuan, mereka boleh menghubungi kami bagi proses awal pendaftaran.

"MOM mahukan atlet yang berkelayakan untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan SEA.

"Kami tidak mahu bersikap tangkap muat biarpun dalam kategori B," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Antara topik yang masih dibincangkan adalah pemilihan calon timbalan chef-de-mission (CDM) memandangkan Sukan SEA di Filipina bakal dianjurkan di tiga venue berlainan, iaitu Metro Manila, Subic dan Clark.

"Saya akan serahkan kepada ahli jawatankuasa untuk menentukan sama ada MOM akan melantik seorang atau dua timbalan CDM berikutan Sukan SEA kali ini dianjurkan di tiga venue," katanya.